Apa sahaja yang kita lakukan, usaha sahaja tidak mencukupi. Bagi mereka yang beragama Islam, perlu diiringi dengan doa dan tawakal. Barulah membentuk keimanan dalam diri yang sebenar.

 

Mungkin ramai yang melihat bahawa cukuplah sekadar berusaha. Tetapi tahukah adik-adik, usaha itu tidak akan memberikan kita kejayaan jika Allah SWT tidak mengizinkannya. Maka apa yang kita perlu lakukan ialah berdoa.

 

Sebagaimana firman Allah SWT:

 

“Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaKu. Nescaya akanKu perkenankan kepadamu.”

(Surah Ghafir: Ayat 60)

 

Oleh itu adik-adik, rajin-rajinkanlah berdoa dan lakukan solat sunat hajat memohon kepada Allah SWT. Insya-Allah, jika adik-adik berterusan dalam berdoa, maka Allah SWT akan membalasnya dengan kejayaan yang setimpal dengan apa yang kita usahakan.

 

Selepas usaha dan berdoa, perkara terakhir yang perlu adik-adik lakukan adalah bertawakal kepada Allah SWT. Di dalam Islam, tawakal bermaksud berserah diri kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada-Nya dalam perkara wajib sebagaimana perintah Allah SWT di dalam surah Al-Imran, ayat 122 yang bermaksud:

 

“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).

 

Manakala, definisi tawakkal menurut kacamata ulama tersohor dunia, Prof dr Yusuf al-Qardawi pula ialah , apabila seseorang manusia itu menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha yang bersungguh-sungguh, kemudian menyerahkan hasil keputusannya hanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

 

Jadi adik-adik semua, jangan sia-siakan masa yang ada. Banyakkan berdoa dan bertawakalah dengan segala ketentuan yang ditetapkan Allah SWT. Percayalah sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.